Jojo adalah kacukan Melayu-Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR – Jaguh muda sukan tempur, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo tampil merungkai persoalan mengenai asal usul negerinya yang kecoh dalam kalangan netizen.

Perdebatan asal usul jaguh sukan tempur berusia 17 tahun itu kerana ada yang mendakwa Johan yang mesra disapa Jojo berasal dari Perak malah ada yang mengatakannya dari Kuala Lumpur.

“Kalau korang (anda) nak tahu aku sebenarnya asal dari mana… datuk aku berasal dari Lenggong, Perak dan bapa aku membesar di KL (Kuala Lumpur). (Tapi) sebenarnya aku orang Malaysialah.

“Korang tak patut kisah pun aku dari Perak ke, Semenanjung ke, Sarawak ke, Sabah ke, dari Pulau Pinang ke (sebab) yang penting aku orang Malaysia,” tegasnya.

Dalam video berdurasi enam minit 45 saat itu, Jojo amat bangga menjadi orang Malaysia.

“Aku ada pasport Malaysia, kalau aku pergi fight (bertarung) mana-mana aku bawa bendera Malaysia.

“Memang target (sasaran) nak naikkan nama Malaysia, bukan nak naikkan nama negeri (mana-mana negeri) sebab aku dah fight di pentas dunia dan aku memang nak bawa nama Malaysia,” katanya.

Dia sempat berpesan kepada peminatnya supaya mengucapkan tahniah atas kapasiti Malaysia apabila dia mencapai kejayaan dalam mana-mana kejohanan disertainya.

“Untuk korang yang selalu tanya Johan dari mana lepas tu untuk orang yang selalu komen seperti tahniah anak Perak ke, tahniah anak Sarawak ke, tak perlu lagi.

“Cakap je tahniah anak Malaysia, sebab aku bangga jadi orang Malaysia.

“Kita semua patut bersatu padu tahu awak, sebab tak kisahlah dari negeri mana yang penting aku orang Malaysia,” katanya menutup perbualan.

Perdebatan negeri asal usul Johan berterusan apabila dia melakar sensasi dengan memenangi semua lima pertarungan yang diharungi di ONE Championship setakat ini.

Ia termasuk kejayaan terkini menumpaskan juara Muay Thai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares dalam penampilan sulung aksi Primetime US, ONE Championship pada 8 Disember lalu.

Sementara itu, Jojo adalah kacukan Melayu-Amerika Syarikat itu yang juga cucu bekas Panglima Angkatan Tentera dan Pengerusi New Straits Times Press, Allahyarham Tan Sri Ghazali Che Mat berpindah ke Sarawak pada tahun 2015 mengikut bapanya yang bertugas sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia.

Bapanya, Senior Asisten Komisioner Zulfikar Ghazali kini bertugas sebagai Komandan Pusat Latihan Polis di Kuching.

Jojo juga pernah mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia dan menyumbang pingat emas dalam acara disertainya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast