Datuk Setia Dr. Mohd Naim Mokhtar bersama Datuk Mohd Nizam Yahya dan Dr. Suraya Amir Husin pada majlis pecah tanah Surau Ibnu Sina di Puitrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membina sebuah surau di Hospital Putrajaya dengan menggunakan peruntukan Kutipan Dana Wakaf Tunai berjumlah RM4.8 juta.

Bangunan Surau Ibnu Sina setinggi dua tingkat berkeluasan 3,856 meter persegi tersebut boleh memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Majlis pecah tanah pembinaan surat tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Setia Dr. Mohd Naim Mokhtar hari ini.

Menurutnya, pembinaan Surau Ibnu Sina bagi menyediakan keselesaan kepada warga kerja, pelawat dan kakitangan Hospital Putrajaya untuk beribadah.

Fasiliti surau tersebut juga boleh dimanfaatkan oleh pelawat dari Institut Kanser Negara yang terletak bersebelahan Hospital Putrajaya.

“Tapak surau ini merupakan pajakan sebahagian tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan ( PTP ) kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya dalam ucapan.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengarah Hospital Putrajaya Dr. Suraya Amir Husin.

Datuk Setia Dr. Mohd Naim Mokhtar ketika melakukan acara pecah tanah Surau Ibnu Sina.

Mohd Naim berkata, PTP dan MAIWP telah menandatangani perjanjian pajakan bagi tujuan pembinaan Surau Ibnu Sina untuk tempoh 30 tahun.

Dalam majlis tersebut, beliau juga menyatakan penghargaan atas penglibatan individu, syarikat serta agensi-agensi yang telah berwakaf dan berkolaborasi dengan MAIWP.

Beliau berharap lebih ramai umat Islam dan syarikat korporat dapat berwakaf dengan MAIWP.

Ini kerana menurut beliau, jika konsep tersebut dapat diperluaskan dan dikomersialkan hasil wakaf boleh dioptimum untuk dinikmati penerima serta membangunkan ekonomi umat Islam.

“Kerjasama strategik sebegini amat diperlukan, sinergi sebegini harus diteruskan dengan agensi-agensi yang lain agar tanggungjawab membantu masyarakat menjadi tanggungjawab bersama yang sudah tentunya memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya.

Pembinaan surau tersebut akan bermula hujung bulan ini yang akan mengambil masa selama 18 bulan dan dijadual siap menjelang tahun 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast