KUALA LUMPUR – Pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Gaza ketika ini berpunca daripada tindakan British yang membangunkan negara Israel di Palestin lebih 100 tahun lalu.
Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia dalam Pertahankan Al Aqsa (Manar), Datuk Seri Ahmad Awang berkata, tindakan Israel semakin berani apabila penubuhan negara zionis itu disokong Amerika Syarikat (AS).
“Sebenarnya apa yang berlaku sekarang bermula bukan dari Amerika tapi British yang telah mengisytiharkan pada 1917 untuk membangunkan negara Israel di Palestin kemudian didokong oleh Amerika.
“Jadi hancur Amerika yang jahanam, Inggeris yang jahanam dan Perancis yang jahanam.
“Lain-lain negara yang bersekutu menyokong kekejaman penjahat diketuai oleh Amerika,” katanya berucap pada Perhimpunan Malaysia Bangkit Tolak Kuasa Veto AS dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) anjuran Sekretariat Palestin Malaysia bersama 20 badan bukan kerajaan (NGO) di Kedutaan AS, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, tindakan AS yang menyalurkan bantuan kewangan termasuk senjata kepada Israel menunjukkan mereka mempunyai pertalian keluarga.
“Israel ini hanya anak kepada mereka (Amerika).
“Bangsa Yahudi jumlah mereka tak sampai 20 juta di seluruh dunia, tapi umat Islam ada 2 bilion.
“Penganas ini membunuh kanak-kanak dan wanita di Gaza, membunuh sesuka hati,” katanya.
Katanya, kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara untuk meluluskan usul gencatan senjata menunjukkan pertubuhan dunia itu sudah tidak berguna lagi.
“PBB pun sudah tak berguna lagi, United Nation tak berguna lagi, pejuang hak asasi pun tak berguna lagi.
“Kita berdukacita OIC pun hanya boleh tengok sahaja
“Kita mendoakan agar Allah hancurkan mereka ini,” katanya. – MalaysiaGazette