Poster pampasan yang disebarkan Israel bagi menghapuskan Yahya Sinwar.

GAZA CITY – Israel telah menyebarkan risalah yang menawarkan ganjaran wang tunai RM1.8 juta (AS$400,000) bagi nyawa ketua sayap politik Hamas, Yahya Sinwar.

Risalah tersebut disebarkan kepada penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat dalam usaha regim zionis untuk melemahkan penentangan Hamas terhadap Israel.

Selain Yahya, turut disenaraikan adalah adiknya Muhammad (AS$300,000), Rafi’ Salamah (AS$200,000) dan Muhammad Dheif (AS$100,000).

Israel memburu Yahya sejak Hamas melakukan serangan balas terhadap negara zionis itu pada 7 Oktober lalu selepas membunuh lebih 200 rakyat Palestin sepanjang tahun ini.

Pemimpin zionis percaya, Yahya adalah pemimpin kedua tertinggi Hamas selepas Ismail Haniyeh.

Selain Israel, sekutu kuat zionis itu juga memburu pejuang hamas itu dengan menyatakan ‘hidup’ Sinwar kini ‘dalam kiraan detik’.

Yahya, 61, lebih dikenali sebagai Abu Ibrahim dilahirkan di kem pelarian Khan Younis di hujung selatan Semenanjung Gaza.

Ibu bapanya berasal dari Ashkelon tetapi menjadi pelarian selepas apa yang dipanggil oleh rakyat Palestin sebagai “al-Naqba” (bencana) – pemindahan besar-besaran rakyat Palestin dari rumah nenek moyang mereka di Palestin dalam perang selepas penubuhan Israel pada tahun 1948.

Beliau mendapat pendidikan di Khan Younis Secondary School for Boys dan kemudian menamatkan pengajian dengan ijazah sarjana muda dalam bahasa Arab dari Universiti Islam Gaza.

Yahya pertama kali ditangkap oleh Israel pada tahun 1982 ketika berusia 19 tahun, kerana “aktiviti Islam” dan kemudian ditangkap semula pada tahun 1985.

Pada masa inilah dia mendapat kepercayaan pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin dan mereka menjadi rapat.

Yahya telah menghabiskan sebahagian besar kehidupan dewasanya – lebih 22 tahun – di penjara Israel, dari 1988 hingga 2011.

Masanya di sana, sebahagian daripadanya dalam kurungan bersendirian telah menjadikan dia nekad untuk menjadi pejuang Hamas dan membebaskan Palestin daripada kekejaman Israel.

Penilaian kerajaan Israel terhadap Sinwar semasa di dalam penjara menggambarkan wataknya sebagai “kejam, berwibawa, berpengaruh dan dengan kebolehan luar biasa ketahanan, licik dan manipulatif, berpuas hati dengan sedikit.

Beliau juga menyimpan rahsia walaupun di dalam penjara di kalangan banduan lain dan mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi orang ramai.

Semasa dipenjarakan, Yahya telah mendalami bahasa Yahudi dan kemudian fasih berbahasa Hebrew dan membaca surat khabar Israel.

Yahya dibebaskan pada 2011 sebagai sebahagian daripada perjanjian yang menyaksikan 1,027 banduan Palestin dan Arab Israel dibebaskan dari penjara sebagai pertukaran untuk seorang tebusan Israel, askar IDF Gilad Shalit.

Pada 2013, beliau telah dipilih sebagai ahli Biro Politik Hamas di Semenanjung Gaza, sebelum menjadi ketuanya pada 2017.-Agensi