KLUANG – Pembesar dan pemimpin diingatkan supaya sentiasa bekerjasama antara satu sama lain termasuk dengan kerajaan negeri.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, baginda akan sentiasa ada ‘satu mata dan telinga’ untuk memerhati serta memastikan Johor sentiasa dalam keadaan yang sebaik mungkin.
“Saya tidak akan jauh dari Johor. Bila kucing keluar daripada kawasan, tikus-tikus akan mula berkeliaran.
“Tempoh lima tahun tidak lama, sekejap sahaja (merujuk lantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17),” titah baginda yang dipetik menerusi laman Facebook Royal Press Office (RPO) hari ini.
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.
Sultan Ibrahim terharu dengan sambutan rakyat berbilang bangsa pada Majlis Jamuan Teh yang diadakan di beberapa daerah sejak minggu lalu.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati dapat bertemu dengan rakyat pada Majlis Jamuan Teh yang diadakan di Muar, Mersing, Pontian dan Kluang.
“Sebagaimana sering saya mengingatkan keharmonian yang erat antara Bangsa Johor menjadi tunjang perpaduan di negeri ini,” titah baginda.- MalaysiaGazette