KUALA LUMPUR – Masuk hari ke-10 siasatan kes bunuh kanak-kanak austisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin – polis meneruskan siasatan di lokasi kejadian di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini hari ini.
MalaysiaGazette yang berada di lokasi berhampiran rumah mangsa di blok R sejak 9 pagi tadi menyaksikan beberapa anggota polis keluar masuk sekitar kediaman berkenaan.
Mereka juga membuat pemeriksaan lagi ke kawasan aliran anak sungai kira-kira 200 meter dari blok rumah mangsa.
Bagaimanapun kawasan Blok R hari ini agak lengang berbanding beberapa hari lalu dengan kehadiran sekumpulan anggota polis yang menjalankan pemeriksaan.
Penduduk juga tidak ramai kelihatan dan taman permainan kanak-kanak juga kosong.
Sebelum itu, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Disember lepas sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai berhampiran pada keesokannya.
Pada hari ketujuh siasatan, polis menemukan beberapa lagi barang bukti hasil pemeriksaan kali kedua dilakukan dari rumah ke rumah.
Bagaimanapun tiada perincian diberikan selain daripada pemakluman bahawa ia akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan memaklumkan proses penelitian video kamera papan pemuka (dashcam) setiap kenderaan penduduk di kawasan berkenaan masih berjalan bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, siasatan mendapati berkemungkinan mayat kanak-kanak itu dipercayai dibuang pada waktu petang di kawasan takungan air tersebut.
Semalam, pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Bukit Aman melakukan proses lakonan semula melibatkan seorang saksi kanak-kanak yang melihat Zayn Rayyan sebelum kehilangannya mangsa.
Pada masa yang sama, ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf yang dilihat tidak dapat menyembunyikan kerinduan terhadap anak sulungnya daripada dua beradik itu memuat naik gambar arwah dalam akaun Instagram dengan ayat-ayat meruntun jiwa.
Kematian Zayn Rayyan dikasifikasikan kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu sehari selepas penemuannya.
Mayat Zayn Rayyan ditemui air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira pukul 10 malam pada Rabu lalu. – MalaysiaGazette