isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dikatakan cuba mengambil peluang untuk memanaskan lagi isu Perdana Menteri bukan Melayu apabila mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana orang Melayu kekal menjadi Perdana Menteri sejak 66 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan desakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar Perlembagaan Persekutuan dipinda sebagai tidak bijaksana.

“Tidak perlu cara paksa. Kita tidak perlu meniru Fiji,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal baru-baru ini mengemukakan cadangan tersebut berikutan kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang bukan Melayu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan Perlembagaan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.

Mohd Puad mengingatkan bahawa pemimpin dari etnik minoriti India, Mahendra Chaudhry pernah menjadi Perdana Menteri Fiji setelah Parti Buruh yang dipimpinnya memenangi pilihan raya pada 1999.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, Sitiveni Rabuka melancarkan rampasan kuasa agar jawatan Perdana Menteri kembali disandang oleh etnik Fiji.

“Apakah politik tidak bijaksana itu mahu dicontohi? Tidak perlulah PN mainkan isu ini untuk raih sokongan orang Melayu.

“Lupakanlah kaedah ‘tebuk atap’ atau ‘langkah’. Itu pun jenis coup d’ etat juga,” jelasnya.

Mohd Puad berkata, kematangan, kebijaksanaan dan kepimpinan merupakan kunci yang dapat mengekalkan jawatan Perdana Menteri dalam tangan pemimpin Melayu.

Menurut beliau, selagi pemimpin Melayu adil, inklusif, matang dan bijaksana, kaum lain akan memberi kepercayaan terus kepada orang Melayu menjadi Perdana Menteri.

“Jika kepimpinan Melayu didokong oleh orang tidak matang dan tidak bijaksana maka bukan Melayu tidak perlu tunggu 100 tahun lagi untuk jadi Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast