Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan kes berprofil tinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak bercadang memanggil Jasmine Loo Ai Swan sebagai saksi.

Jasmine Loo merupakan bekas peguam 1MDB yang juga dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan ketika ini, Low Taek Jho atau Jho Low.

Hari ini ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan pihaknya akan memanggil Jasmine Loo susulan kenyataan saksı terdahulu, Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min.

Wei Min yang merupakan saksi ke-48 sebelum ini bersetuju dengan cadangan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Jasmine akan menjadi saksi penting yang boleh mendedahkan isu pemindahan AS$681 juta ke dalam akaun bank Najib.

Pemindahan dilakukan oleh Tanore Finance Corporation dipercayai dikawal oleh ahli perniagaan Eric Tan Kim Loong yang juga sekutu Jho Low.

Dalam keterangan, saksi juga ada mendedahan pertemuan Jasmine Loo bersama beberapa pegawai 1MDB dengan Jho Low di China.

Saksi juga mendakwa Jasmine boleh dianggap sebagai pembantu peribadi Jho Low malah peguam itu juga dikatakan boleh membantu Najib atau menyabitkannya.

Pegawai penyiasat kanan 1MDB, Foo Wei Min hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Komplek Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OKTOBER 2023

Dalam pada itu, ketika prosiding, Muhammad Shafee juga ada memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya perlu menyoal balas beberapa saksi termasuklah Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir.

Ini selepas mahkamah selesai mendengar keterangan saksi akhir iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Superintendan Kanan Nur Aida Arifin.

Ketika ini, Najib yang juga bekas perdana menteri sedang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Beliau juga didakwa dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Lawrence Sequerah bersambung 2 Januari ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast