KUALA LUMPUR – Cadangan Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan di ibu negara dilihat sebagai tepu, dangkal, sangat tidak relevan dan tidak realistik dengan keadaan semasa.
Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata, kerajaan perlu melihat jauh ke hadapan dan menolak cadangan tersebut.
“Sebaliknya, jika DAP mahu menegakkan demokrasi, adalah lebih baik Kok Wai memperkemaskan partinya dan Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu yang kononnya mendukung ‘Kerajaan Perpaduan’ sebelum melontarkan idea yang mampu mencetuskan ketegangan dan perpecahan seperti itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kok Wai ketika berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur semalam mencadangkan agar kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.
Azhar memberitahu, Pas Wilayah Persekutuan membantah keras cadangan tersebut dan menyifatkannya sebagai sangat berbahaya.
Menurut beliau, pecahan populasi mengikut kaum di Wilayah Persekutuan adalah tidak seimbang dan monopoli kaum dikhuatiri akan berlaku dalam penguasaan kerusi-kerusi di bawah PBT.
“Buktinya, kerusi Parlimen Kepong, Seputeh, Cheras, Bukit Bintang dan Segambut, dikuasai oleh DAP manakala kerusi Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak adalah kawasan campuran yang majoritinya dikuasai oleh kaum selain Melayu,” jelasnya.
Azhar turut mempersoalkan mengenai jaminan bahawa wakil Melayu akan beroleh kerusi dan suara majoriti sekiranya cadangan Kok Wai itu dilaksanakan.
“Pas Wilayah Persekutuan berasa musykil agenda apakah yang DAP mainkan dengan cadangan seperti itu,” katanya. – MalaysiaGazette