MELAKA – Seramai 132 peniaga dan pengunjung di uptown Dataran Klebang di sini diperiksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka.
Pengarahnya Norazle Sulaiman berkata, Ops Bintang pada malam Jumaat lalu itu melibatkan kekuatan 30 anggota JPN bertujuan mendidik masyarakat.
“Operasi juga bagi memastikan rakyat cakna dan tidak menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan milik orang lain.
“Dalam operasi selama tiga jam itu, tiga peniaga berusia lingkungan 30 an dan 40 an didapati tidak membawa Mykad dan diberi amaran tegas untuk sentiasa membawa dokumen penting itu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tambahnya, kegagalan membawa kad pengenalan adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990.
Jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut Norazle berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 37 operasi dilakukan JPN Melaka dan 15 kes telah didakwa di mahkamah.
“Daripada jumlah itu, 10 kes didakwa kerana mengemukakan maklumat palsu di bawah Perkara 25(1)(b) PPN 1990 (Pindaan 2007).
“Sebanyak tiga kes direkodkan atas kesalahan memiliki dan menggunakan kad pengenalan orang lain di bawah Perkara 25(1)(e),” katanya.
Selain itu, terdapat dua kes mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu kelahiran di bawah Perkara 36(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957. – MalaysiaGazette.