APMM Pulau Pinang tahan lima nelayan Myanmar tiada dokumen perjalanan yang sah.

GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima nelayan warga Myanmar bersama sebuah bot nelayan tempatan (BNT) kelas C di kedudukan 20 batu nautika barat Daya Pulau Kendi di sini.

Pemangku Pengarah Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tekong warga Myanmar mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, empat kru yang lain turut gagal berbuat demikian.

Bot yang dinaiki nelayan berkenaan turut disita.

“Kesemua kru berusia 23 hingga 43 tahun bersama bot telah ditahan di Jeti Limbongan Batu Maung bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu tiada kebenaran menggunakan kru warga asing daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 iaitu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Nak Rong berkata, pihaknya turut merampas tujuh set bubu naga pada operasi di sekitar 3.6 batu nautika tenggara Pulau Rimau di sini, semalam.

Bubu naga yang dirampas dalam operasi di Pulau Kendi.

“Rampasan dibuat menerusi aset peronda APMM itu dijalankan dalam usaha membanteras penggunaan bubu naga di sekitar perairan negeri ini.

“Penggunaan bubu naga merupakan kaedah penangkapan hasil laut yang tidak berlesen dan merupakan satu kesalahan di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette