GEORGE TOWN – Menyedari negara bakal berdepan gelombang jangkitan Covid-19 disumbangkan pelbagai faktor telah mendorong seorang pengusaha restoran secara sukarela tampil bagi mendapatkan dos penggalak seperti disarankan kerajaan.
P. Suresh, 53, berkata, faktor utama dia berminat menerima vaksin keempat secara sukarela kerana dos penggalak dapat membantu mencegah gejala serius daripada penyakit Covid-19.
“Pada mulanya saya ke Klinik Kesihatan Jalan Perak bagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar akibat kecederaan pada bahagian ibu jari kaki.
“Bagaimanapun ketika proses rawatan saya terdengar pengumuman bahawa klinik berkenaan merupakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan mereka menyediakan dos penggalak kedua kepada orang awam meskipun tanpa temu janji.
“Ketika itu saya fikir ini merupakan masa yang sesuai untuk saya mendapatkan suntikan dos penggalak kedua. Selain faktor berisiko dijangkiti kerana saya berurusan dengan pelanggan di restoran, saya rasa ambil dos penggalak ketika ini lebih mudah kerana tidak perlu beratur memandangkan tidak ramai yang hadir secara sukarela buat masa ini,” katanya.
Lelaki yang menetap di Jelutong itu ditemui selepas menerima suntikan dos penggalak kedua di PPV Klinik Kesihatan Jalan Perak di sini.
Suresh berharap tindakannya secara sukarela mendapatkan dos penggalak kedua akan menjadi galakan kepada orang ramai bagi mengambil suntikan susulan peningkatan kes pada masa ini.
“Kalau kita lihat semakin hari jumlah kes jangkitan Covid-19 meningkat jadi mungkin kita boleh ambil peluang dapatkan dos penggalak agar gejala jangkitan tidak serius,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi Zulkifly Jalil, 40, dia dan isterinya sudah membuat temu janji bagi mendapatkan dos penggalak di PPV Jalan Angsana.
Jelas penjawat awam itu, kehilangan ahli keluarga terdekat dua minggu lalu mendorong dirinya mahu mendapatkan vaksin penggalak.
“Saya tahu dos penggalak bukanlah jaminan untuk tidak dijangkiti Covid-19 tetapi berdasarkan pengalaman ambil vaksin sebelum ini ia mengurangkan risiko jangkitan serius sebab itu saya buat temu janji sebaik Pulau Pinang mengumumkan pembukaan PPV minggu lalu.
“Kalau kita lihat bukan sahaa jangkitan namun jumlah kematian turut meningkat jadi sebagai ketua keluarga saya ambil keputusan untuk dapatkan pelindungan diri buat kami malah saya yakin pengambilan awal ini mampu mengurangkan kesesakan di PPV pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette