beras SST nikotin rumah terbuka madani LGBTQ nik elin zurina
Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Dewan Ulama Pas menggesa agar perbuatan memikat isteri orang atau memujuk lari perempuan yang bersuami terus dikekalkan sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, perbuatan itu akan mengundang perbuatan haram dan tidak bermoral yang dilarang agama dan menyebabkan keburukan dan mafsadah dalam kehidupan masyarakat dan institusi kekeluargaan.

Menurut beliau, masalah moral tersebut jika dibatalkan boleh melemahkan prestasi penjawat awam dan kecemerlangan dalam organisasi yang terpalit dengan perlakuan itu.

“Persoalan diskriminasi terhadap wanita atau isteri yang tidak mempunyai kuasa untuk mengadu jika suaminya digoda atau dipikat oleh wanita lain wajar ditangani dengan pendekatan yang lain.

“Bukannya dengan membatalkan peruntukan yang terbukti dapat mengawal keburukan dari berlaku ibarat kata pepatah iaitu mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang sebelum ini diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengisytiharkan seksyen berkenaan tidak berperlembagaan kerana ia melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.

Panel berkenaan membuat keputusan itu seelepas membenarkan persoalan undang-undang yang dirujuk oleh seorang ahli perniagaan yang berdepan tuduhan menggoda isteri orang dalam usahanya mendapat perisytiharan bahawa seksyen berkenaan tidak berperlembagaan.

Ahmad memberitahu, Dewan Ulama Pas juga bimbang keputusan tersebut akan memberi kesan pembatalan peruntukan yang hampir sama dalam enakmen jenayah syariah negeri-negeri yang sedang berkuat kuasa sekarang.

Beliau menambah, sebagai contoh, kesalahan memujuk lari wanita yang bersuami dinyatakan dalam Seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

“Apakah perlakuan sebegini sudah tidak menjadi kesalahan dalam kalangan penjawat awam dan rakan sekerja yang banyak dilaporkan berlaku di tempat kerja?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast