KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Penataran Ilmu dan
Bahasa (PPIB) mencipta sejarah apabila berjaya melahirkan dua pelajar sulung yang berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Sains Sosial bidang pengkhususan Sains Politik sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-25.
Mereka adalah Datuk Dr. Madiyem Layapan dan Dr. Abdul Hai Julay.
Madiyem yang juga CEO Invest Sabah Bhd, menyelesaikan kajiannya yang berjudul Identity Politics and Economic Development in Sabah, Malaysia during PBS Era,
1985-1994 di bawah penyelia utama Prof. Madya Dr. Romzi Ationg.
Kejayaan ini dicapai selepas menamatkan sembilan semester pengajian bermula pada Semester 2, Sesi akademik 2018/2019.
Kejayaan Madiyem meraih gelar PhD pada usia 63 tahun bukti bahawa pendidikan sepanjang hayat adalah penting dan masyarakat seharusnya diberi dorongan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tanpa mengira usia
dan kedudukan.
Turut mencipta kejayaan adalah Dr. Abdul Hai, pelajar berasal dari negara Brunei Darussalam.
Beliau menyelesaikan kajiannya bertajuk The Development of Brunei Environmental Civic Culture Process During the Post Third Wave of Democratisation, 1991-2020 di bawah
penyeliaan Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng.
Beliau kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Kejayaan Dr. Abdul Hai diharapkan menjadi dorongan untuk menarik lebih ramai lagi pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah di PPIB. – MalaysiaGazette