Lelaki tempatan (baju biru) yang juga ulat parkir ditahan berhampiran kawasan Tapak Pesta Pulau Pinang baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Tindakan sindiket ulat parkir mengaut keutungan dengan mengenakan caj parkir haram hingga mengakibatkan gangguan lintas di sekitar kawasan Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong di sini, mengundang padah selepas seorang lelaki ditahan baru-baru ini.

Lelaki tempatan berusia 40an itu ditahan menerusi operasi membanteras ‘ulat parkir’ yang dijalankan Unit Risikan/Operasi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Pengarah Penguatkuasaan MBPP, Noorazrein Noorazlan Ong berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengunjung yang mendakwa menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab itu apabila mereka dikenakan caj parkir mahal.

Selain itu, pengguna lalu lintas juga mengadu tindakan ulat parkir tersebut menyebabkan berlaku kesesakan yang teruk di sepanjang jalan di sekitar Sungai Nibong khususnya kawasan Pesta Pulau Pinang.

Tindakan ulat parkir mengakibatkan kesesakan lalu lintas susulan kereta di parkir di atas pembahagi jalan serta berhampiran kawasan perumahan.

“Bidang kuasa polis untuk melakukan tangkapan ke atas ulat parkir namun apabila banyak aduan disalurkan kepada MBPP, kami memohon satu operasi bersepadu bersama bagi membanteras kegiatan tersebut.

“Kita percaya dengan tangkapan lelaki tempatan mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan hebahan melalui media massa akan berikan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan ulat parkir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, operasi sebegini akan diteruskan sekiranya pihaknya masih menerima aduan daripada orang ramai berhubung kegiatan ulat parkir.

“Elakkan daripada memberi wang kepada ulat parkir yang mengutip wang secara tidak sah dan sekiranya dipaksa orang awam boleh buat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Sehubungan itu Noorazrein menasihatkan orang ramai agar meletak kenderaan mereka di kawasan tempat letak kereta yang dibenarkan bagi mengelak tindakan saman atau tunda.

Orang ramai dinasihatkan meletakkan kenderaan mereka di lokasi dibenarkan sekiranya mengunjungi Pesta Pulau Pinang.

“Kita juga galakkan orang awam mengamalkan konsep perkongsian kenderaan (car pool) untuk ke Pesta Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum ini tular pengunjung Pesta Pulau Pinang meluahkan rasa kecewa apabila menerima saman lalu lintas daripada polis dan MBPP walaupun sudah membayar wang parkir antara RM10 dan RM15.

Susulan itu terbongkar wang yang dibayar pengunjung itu sebenarnya bukan kepada individu yang layak menerima kutipan sebaliknya ulat parkir. – MalaysiaGazette