Jumlah kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat. Gambar hiasan.

LOS ANGELES – Penyakit pernafasan semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS) menjelang musim perayaan dengan jumlah pesakit yang dirawat di hospital akibat Covid-19, selesema dan jangkitan virus pernafasan (RSV) mencapai tahap tertinggi sejak permulaan tahun ini.

Jumlah penyakit pernafasan yang menyebabkan orang ramai mendapatkan rawatan kesihatan semakin meningkat di kebanyakan kawasan, lapor Xinhua memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Lebih daripada 22,700 kes kemasukan pesakit baharu Covid-19 ke hospital, jumlah tertinggi sejak Februari, dilaporkan di seluruh negara untuk minggu yang berakhir pada 9 Disember, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh CDC pada Isnin.

Kadar positif ujian makmal dan lawatan jabatan kecemasan akibat jangkitan influenza juga semakin meningkat di negara ini.

Kajian mingguan CDC menyatakan influenza bermusim meningkat di kebanyakan bahagian di negara ini terutamanya di kawasan tenggara, selatan tengah dan pantai barat dengan tahap jangkitan tertinggi.

Jumlah kemasukan pesakit jangkitan ke hospital turut melonjak setiap minggu.

CDC berkata, setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya 3.7 juta penyakit, 38,000 kes kemasukan ke hospital dan 2,300 kematian akibat penyakit berkaitan flu pada musim ini di AS.

Hospital kanak-kanak di negara tersebut juga menghadapi gelombang RSV yang serius tahun lalu, yang boleh membahayakan kesihatan mereka, terutamanya bayi.

Tahun ini, menurut CDC, keadaan RSV menjadi stabil tetapi meningkat di seluruh negara.

Pengarah CDC, Mandy Cohen, mendesak rakyat AS untuk mendapatkan vaksinasi, terutamanya menjelang cuti akhir tahun dan melakukan ujian Covid-19 di rumah.

Sementara itu, beliau juga minta orang ramai mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan, membuka tingkap untuk pengudaraan dan memakai pelitup muka.

Pengambilan vaksin Covid-19, influenza dan RSV kekal rendah di AS.

Kadar penerimaan vaksin Covid-19 adalah 7.8 peratus bagi kanak-kanak, 18.3 peratus bagi dewasa berumur 18 tahun ke atas dan 37.4 peratus adalah dewasa berumur lebih dari 65 tahun, menurut data CDC.- Agensi