Pemandangan sekitar Cheras

KUALA LUMPUR – Kawasan bandar memperoleh carian hartanah paling banyak kerana bakal pembeli mencari rumah berhampiran tempat kerja.

iProperty.com.my berkata, sebanyak 10 kawasan yang paling banyak dicari dalam kalangan pencari hartanah di Malaysia.

Lokasi utama yang dicari ialah Petaling Jaya, Mont Kiara, Johor Bahru, Cheras, Puchong, Bukit Jalil, Kuala Lumpur City Centre, Subang Jaya, Bangsar, Cyberjaya.

Menurutnya, kawasan baharu dalam senarai tahunan ini adalah Bangsar dan Bukit Jalil.

“Senarai ini mencatatkan bilangan carian tertinggi oleh pelawat yang melayari hartanah untuk dijual di iProperty.com.my antara Januari dan November 2023.

“Berbanding 2022, apabila bakal pembeli rumah mempertimbangkan kawasan terpilih di luar Lembah Klang disebabkan fleksibiliti kerja, data carian 2023 menunjukkan peralihan keutamaan kembali ke kawasan bandar.

“Perubahan ini boleh dikaitkan dengan dasar kembali ke pejabat yang dilaksanakan
oleh lebih ramai majikan,” katanya di sini.

Mengulas trend ini, Sheldon Fernandez, Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), berkata, berdasarkan data carian 2023, didapati terdapat perubahan ketara dalam pilihan pembeli rumah.

Memandangkan lebih ramai majikan melaksanakan aturan kembali ke pejabat, terdapat peningkatan semula dalam tarikan kehidupan bandar.

Hartanah bandar menawarkan beberapa kelebihan kepada mereka yang bekerja di pejabat seperti ketersambungan yang sangat baik dan akses mudah ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam, memberikan masa perjalanan yang lebih singkat.

Kawasan bandar juga sering menjadi pusat aktiviti, menawarkan pelbagai kemudahan seperti pusat membeli-belah, restoran dan kemudahan rekreasi.

Disebabkan itu, kawasan tersebut dapat menarik mereka yang mencari gaya hidup dinamik di luar waktu kerja.

Menurutnya, babungan faktor-faktor ini menjadikan kehidupan bandar sangat sesuai untuk golongan professional yang bekerja di pejabat.

Trend ini menekankan daya tahan dan kebolehsuaian pasaran hartanah. – MalaysiaGazette