GEORGE TOWN – Lelaki tempatan yang diselamatkan nelayan selepas bertindak terjun di Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang menghala Pulau di sini, hari ini dipercayai suspek yang dikehendaki polis bagi satu kes bunuh.
Difahamkan, sebelum insiden terjun ke dalam laut, lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai menetak seorang wanita berusia 40 an di Butterworth dan mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital.
Lelaki itu dikatakan melarikan diri menunggang sebuah motosikal selepas orang awam mula mengejar susulan melihat jenayah yang dilakukannya.
Bagaimanapun, motosikal yang ditungganginya diletakkan di bahu jalan atas jambatan sebelum dia bertindak terjun.
Berdasarkan video tular, lelaki yang berjaya diselamatkan nelayan cuba terjun sekali lagi dari bot nelayan ketika mereka dalam perjalanan menghala ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
“Berdasarkan maklumat awal, lelaki yang terjun itu merupakan suspek kes bunuh dan kini kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
“Kenyataan media berhubung kes berkenaan akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung ada individu terjun Jambatan Pulau Pinang pada jam 11.23 pagi.
“Susulan itu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerahkan ke lokasi sebelum mendapati sebuah motosikal jenis SYM dipercayai milik mangsa ditinggalkan di bahu jalan jambatan berkenaan.
“Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati mangsa diselamatkan nelayan yang melalui kawasan tersebut sebelum kes diserahkan kepada pihak polis.
“Operasi tamat pada jam 12.39 tengah hari,” katanya. – MalaysiaGazette