Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR- Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung insiden perang mulut yang tular di sebuah pangsapuri di Taman Universiti Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut jam 3.43 petang semalam.

Menurut beliau, insiden perang mulut di antara jiran itu dipercayai berlaku 8 Disember lalu kira-kira 12.30 malam.

Katanya, pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham akibat bunyi bising sehingga menimbulkan rasa tidak senang penghuni lain.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 13 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Sementara itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tesebut agar berhubung dengan Pengawai Penyiasat, Inspektor Jeffri Joni di talian 011-65141322.

Terdahulu, sebuah klip video berdurasi 58 saat tular, memaparkan seorang lelaki memarahi seorang wanita, mendakwa jiran di hadapan rumahnya itu bising ketika sudah lewat malam dan menganggu tidurnya.

Pertengkaran berlarutan dengan kehadiran seorang lelaki lain yang dipercayai ahli keluarga wanita terbabit. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast