BUTTERWORTH – Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) berkaitan pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar telah dijalankan melibatkan komuniti tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, SIA dilakukan bagi mendapatkan input daripada komuniti tempatan yang menjadi membimbangkan dalam pembinaan projek tersebut.
Katanya, bagaimanapun, pihaknya masih belum menyemak hasil SIA tersebut tambahan pula ia di bawah PLANMalaysia.
“Tiada istilah asrama pekerja warga asing kerana asrama pekerja merupakan kategori yang boleh didiami semua pekerja termasuk warga tempatan.
“Bagaimanapun, setiap permohonan pembinaan tersebut mesti melalui proses tertentu termasuk SIA, Penilaian Alam Sekitar (EIA) daripada pelbagai agensi sama ada tapak itu sesuai untuk pembinaan atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Depoh Pembersihan Ampang Jajar di sini, hari ini.
Tambah Jason, Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) bagi pembinaan asrama tersebut masih dalam pertimbangan meskipun permohonan bagi projek tersebut telah diluluskan Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang.
“Memang kita telah menerima permohonan mereka (pemaju) namun kita perlu meneliti PKM, reka bentuk serta susun atur projek sebelum memberi kelulusan pembinaan.
“Bagaimanapun, setiap permohonan bagi pembinaan asrama pekerja selalunya dibantah rakyat tempatan ia termasuk pembinaan asrama pertama di Bukit Minyak pada 2017 namun kalau kita lihat hasilnya pengawalan di lokasi itu lebih komprehensif,” katanya.
Terdahulu satu jawatankuasa bertindak merancang melakukan bantahan berhubung pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar pada 30 Disember ini.
Bantahan itu dirancangkan susulan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang telah meluluskan dua permohonan bagi pembinaan asrama pekerja di Teluk Kumbar.
ARTIKEL BERKAITAN
Jason pada 27 November lalu dilaporkan berkata, pembinaan itu akan dilakukan di atas lot 1859,1860 & 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Chong Company Sdn. Bhd.
Katanya, anggaran seramai 32,680 pekerja warga asing akan ditempatkan di blok bangunan setinggi 27 tingkat itu.
“Walau bagaimanapun, sehingga kini Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hanya menerima Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) daripada Tetuan Chong pada 27 Jun lalu dan permohonan tersebut masih dalam proses pertimbangan,” katanya. – MalaysiaGazette