DDNK Inter-Pacific Asset Management IPAM Datuk Dr Nazri Khan Private Mandate
Ketua Ekonomi dan Pengurus Dana Bebas Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan (DDNK) (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi Vega Hermosa Sdn Bhd, Nur Azman Abdullah (kanan) dan Naib Presiden Kanan Pelaburan dan Pengurus Dana Bebas IPAM, Heddy Humaizi (kiri) menunjukkan buku Autopilot Millionaire pada sidang media mengenai pulangan Private Mandate dan Unit Amanah yang baik di Berjaya Time Square Hotel, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 19 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd (IPAM) kini menawarkan produk pelaburan Private Mandate khusus untuk golongan M40 dan B40.

Ketua Ekonomi dan Pengurus Dana Bebas IPAM, Datuk Dr Nazri Khan berkata, produk tersebut adalah unik kerana ia memerlukan pelaburan serendah RM50,000 sahaja berbanding RM1 juta sebelum ini.

Beliau yang popular dengan gelaran DDNK memberitahu, produk patuh syariah bagi pelabur runcit tersebut juga selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita rasakan banyak segmen di Malaysia yang terpinggir iaitu B40 dan M40.

“Jadi kita beri peluang kepada mereka untuk melabur dalam saham-saham teknologi patuh syariah termasuk di Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Kanan (Pelaburan) dan Pengurus Dana Bebas IPAM, Heddy Humaizi dan Ketua Pegawai Operasi Vega Hermosa Sdn Bhd, Nur Azman Abdullah.

Pada sidang media itu, DDNK melancarkan buku terbaharu tulisannya yang bertajuk Autopilot Millionaire khas untuk para pelabur serta peserta kursus yang dianjurkan beliau sepanjang tahun depan dengan pendekatan pelaburan terkini.

DDNK turut berkongsi prestasi pulangan memberangsangkan Private Mandate kendaliannya setakat 30 November lalu iaitu 71.75 peratus bagi dana Super Aggressive diikuti Ultra Conservative (49.96 peratus), Conservative (48.08 peratus) dan Aggressive (41.96 peratus).

Bagi segmen Dana Borong kendalian IPAM pula, produk Interpac Dana Ghani mencatatkan pulangan sebanyak 111.68 peratus setakat 30 November lalu manakala Interpac Dana Abadi merekodkan pulangan 55.46 peratus.

Kesemua maklumat adalah daripada analisis yang dilakukan oleh Lipper Analytics dan Novagni Sdn Bhd.

Sementara itu, berhubung gelembung kecerdasan buatan (AI), Nazri menjangka ia akan bertahan antara lima hingga enam tahun lagi.

Beliau berpandangan, super bull pasaran-pasaran serantau dan global akan bermula tahun depan yang seterusnya membawa kepada era DotAI.

“Saya melihat gelembung AI berbeza daripada gelembung Dotcom yang berlaku pada 1995 kerana aplikasi dan saiz AI adalah lebih besar,” jelasnya.

DDNK turut menasihatkan para pelabur agar tidak terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak sah atau penipuan dalam talian yang menggunakan nama, gambar serta video beliau.

Ia sekali gus menjejaskan reputasinya sebagai pengurus wang berlesen yang bertauliah. – MalaysiaGazette

Kenyataan Penafian : Para pelabur dinasihatkan untuk membaca dan memahami kandungan Salinan Prospektus, Prospektus Tambahan, Lembaran Sorotan Produk (Product Highlights Sheet – PHS), Memorandum Maklumat (Information Memorandum), dan Perjanjian Mandat Persendirian (Private Mandate Agreement) yang berkaitan sebelum melabur. Antaranya, para pelabur harus mempertimbangkan yuran dan caj yang terlibat. Prestasi dana yang lalu bukan petunjuk prestasi masa depan dan pengagihan pendapatan adalah tidak dijamin.

Para pelabur perlu membuat penilaian sendiri tentang kelebihan dan risiko pelaburan. Jika ragu, pelabur perlu mencari nasihat profesional.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast