Nanas yang telah dikutip di UPM akan dibawa ke tempat pengekelasan gred nanas.

SERDANG – Pasaran nanas madu atau MD2 di Malaysia baru-baru ini diperluaskan untuk menembusi pasaran Osaka sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah eksport negara dan membantu pemain industri tempatan menambah pendapatan.

Penolong Pegawai Pertanian, Unit Tanaman Nanas Pusat Pertanian Putra (PPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Imran Omar berkata, terdapat 16 jenis nanas di Malaysia namun pasaran MD2 mendapat sambutan yang menggalakkan dan permintaan yang tinggi oleh peminatnya.

“MD2 merupakan buah premium kerana isinya yang sedap akan memberikan rasa ketagihan selain kulitnya yang nipis dan boleh mencecah sehingga empat kilogram (kg) sebiji.

“Selain menjadi salah satu sumber kekayaan baharu negara dalam sektor pertanian, tanaman nanas ini mudah untuk dijaga kepada pengusaha kerana ia tidak memerlukan siraman air yang banyak dan hanya perlu memastikan sistem perparitan yang baik bagi mengelakkan takungan air.

“Tanaman ini juga tidak memerlukan sistem penggiliran tanaman melainkan pokok tersebut telah diserang penyakit seperti Reput Teras Bakteria yang sedikit menganggu industri nanas Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, katanya, para pengusaha nanas perlu sentiasa memastikan buah nanas dalam keadaan yang baik serta mengawal rumpai pada pokok nanas yang merupakan antara ancaman buat penghasilan buah nanas yang premium.

Menurutnya, pasaran nanas jenis tersebut di Malaysia mendapat sambutan yang tinggi selepas sawit dan durian kerana penggunaan buah nanas yang pelbagai dalam negara bukan sekadar segar dimakan namun mendapat permintaan dalam penghasilan jus, sambal nanas, jem, kuih, salad buahan, sabun dan sebagainya.

Tambah Mohamad Imran, benang tekstil berkualiti tinggi juga mampu dihasilkan melalui serat nanas sekaligus memberi pulangan berganda buat pengusaha nanas selain pasaran buahnya yang berkhasiat dan bermutu tinggi.

“Selain itu, daripada serat daun nanas juga boleh terhasilnya sehelai kertas dan menjadi sebuah buku catatan serta penghasilan pelbagai bekas atau kotak cenderamata yang bermutu tinggi.

“Inovasi ini menunjukkan perusahaan nanas sememangnya membuka pelbagai peluang baharu bidang keusahawanan dalam dunia pertanian sekiranya produk nanas dimanfaatkan semaksima mungkin,” ujarnya.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), hampir 20 negara mengimport produk nanas, termasuk Singapura, Mesir, China dan Jepun sehingga kini.

Dalam pada itu, LPNM pada tahun 2021 telah menyeru agar lebih banyak pihak membabitkan diri dalam bidang penananam nanas, khususnya jenis MD2, yang masih kurang penghasilannya, sedangkan permintaan di pasaran amat tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast