KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan hala tuju struktur portfolio itu.
Menurut beliau, keputusan sama ada mengembalikan semula Kementerian Wilayah Persekutuan atau sebaliknya adalah bawah bidang kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sama ada di masa depan ia bertukar kepada kementerian atau sebaliknya saya masih perlu berbincang dengan PM tentang hala tuju selepas ini.
“Sudah tentu kita tahu kalau kementerian lebih besar fungsinya berbanding jabatan yang mana di sini saya bertanggungjawab melapor kepada PM
“Saya serahkan kepada PM untuk menentukan hala tuju pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, Zaliha hadir pada Majlis Sambutan Datang dan Sesi Taklimat DBKL bersamanya.
Tambah beliau, sehingga kini bidang kuasa DBKL kekal di bawah jabatan berkenaan.
Sebagai rekod, Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Penstrukturan tersebut dibuat sejak sejak Anwar menjadi Perdana Menteri tahun lalu.
Dalam pada itu, Zaliha berkata Belanjawan DBKL 2024 antara topik yang dibincangkan dalam taklimat kepadanya hari ini.
Jelas beliau, antara fokus belanjawan tersebut adalah meningkatkan hasil DBKL, pelaksanaan kerja-kerja pembangunan, ekonomi dan kelestarian bandar wilayah persekutuan berkenaan.
“Itu tidak lari daripada yang telah dirancang. Dalam taklimat Belanjawan tadi ada dinyatakan DBKL ada defisit kita akan bagi peningkatan untuk tingkatkan hasil supaya belanjawan defisit itu kita akan dapat atasi dengan baik,” tambahnya. -MalaysiaGazette