KUALA LUMPUR – Seramai 31 anggota dan pegawai polis di Kontinjen Kuala Lumpur telah dibuang kerja atas pelbagai kesalahan dalam tempoh Januari hingga November lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 41 orang dalam tempoh sama pada tahun lalu.
“Sentiasalah menjalankan tugas dengan berintegriti kerana integriti bukan sahaja mencerminkan imej seseorang pegawai dan anggota polis malah ia melambangkan identiti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita merupakan frontliner (barisan hadapan) bagi pasukan PDRM untuk berhadapan dengan masyarakat, oleh itu sangat penting bagi pegawai dan anggota untuk meningkatkan disiplin, melaksanakan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur pagi tadi.
Tambah beliau, secara umumnya beliau berpuas hati dengan prestasi kerja anggota dan pegawainya sepanjang tahun ini yang rata-rata berjaya melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
Beliau juga memaklumkan kenaikan pangkat kepada 93 anggota daripada korperal kepada sarjan manakala 34 anggota lagi dinaikkan pangkat sarjan mejar.
“Kenaikan pangkat bukanlah suatu kemegahan sebaliknya merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul.
“Justeru, pikullah amanah dan tanggungjawab ini sepenuh hati dan berkhidmatlah dengan profesional serta integriti yang tinggi setiap masa,” katanya. – MalaysiaGazette