BANGI – Sektor korporat, para usahawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disarankan supaya memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada pelajar-pelajar lepasan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dari keluarga B40.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu seharusnya dilakukan secara kolaborasi bersepadu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pemerkasaan TVET di bawah kementeriannya secara tidak langsung membantu pelajar-pelajar B40 meningkatkan kemahiran yang bersesuaian dengan pasaran pekerjaan.
“Mereka perlu diberi peluang untuk menjana pendapatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan sosial,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Kongres Menoktah Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini hari ini.
Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan oleh setiausaha politiknya, Datuk Mohd Razlan Rafii.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom dan Pengerusi Lembaga Penasihat Benevolent Malaysia, Dr Jufitri Joha.
Ahmad Zahid berkata, melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.7 bilion untuk memperkasakan bidang TVET.
“Untuk pengetahuan semua, TVET yang kita lakukan di bawah KKDW, keberkesanan kita untuk memasarkan kepakaran mereka ini telah mencapai 90.4 peratus,” jelasnya.
Beliau menambah, KKDW turut menyediakan skim keusahawanan seperti Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Start Right (PSR) untuk lepasan TVET dan memberi beberapa insentif yang lain boleh dimanfaatkan oleh mereka. – MalaysiaGazette