Tentera pejuang Hamas. Gambar hiasan

DOHA – Hamas bertegas untuk tidak lagi terperangkap dengan permainan ‘gencatan sementara’ yang diusulkan oleh Israel hanya kemudian akan meneruskan serangan ke atas Gaza selepas warga zionis dilepaskan.

Pegawai kanan Hamas, Ghazi Hamad memberitahu Al Jazeera, keutamaan pasukan pejuang Palestin adalah mendapatkan gencatan senjata kekal dan menghentikan peperangan di wilayah Palestin itu.

“Israel akan mengambil tebusan dan selepas itu mereka akan memulakan pusingan baharu pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat kami,” katanya dipetik.

“Kami tidak akan bermain permainan ini.” katanya.

Hamas menambah sebaik sahaja perang berhenti, Hamas “bersedia untuk berunding dengan semua” dan mencapai “kompromi besar” untuk tawanan Palestin dan tawanan di Gaza.

Sebelum ini, media Israel, Walla melaporkan negara itu berminat untuk mengusulkan gencatan senjata selama seminggu sebagai pembebasan 40 warganya yang ditahan oleh Hamas.

Menurutnya, negara zionis tersebut memaklumkan pendirian dan cadangan berkenaan kepada Qatar untuk disampaikan kepada Hamas.

Pegawai kanan Israel dan sumber asing berkata, kumpulan tebusan yang perlu dibebaskan adalah lelaki berusia lebih 60 tahun dan mereka yang menderita penyakit yang mengancam nyawa atau kecederaan serius dan memerlukan rawatan perubatan segera.

Pemimpin Israel berhadapan dengan tekanan rakyat selepas video tiga warga emas yang menjadi tahanan Hamas mendesak kerajaan zionis segera pembebasan mereka.

Israel turut tertekan kerana tiga tebusan negara itu mati kerana ditembak oleh askar sendiri.

Sebelum ini, Hamas membebaskan kira-kira 50 tebusan Israel sebagai pertukaran 150 kanak-kanak dan wanita Palestin yang menjadi tahanan dalam penjara zionis.

Bagaimanapun selepas pertukaran tamat tentera Israel meneruskan serangan tanpa henti hingga menyebabkan lebih 19,000 penduduk Gaza terkorban.

Sementara itu, media melaporkan, Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Mesir dan Iran berkaitan perkembangan terkini situasi di Gaza.-Agensi