Kapal Zim dari Israel. Foto: ShipSpotting.com

KUALA LUMPUR – Kapal dagang Israel, Zim tidak akan dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 26 Disember 2023.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia selaras kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak membenarkan kapal Israel berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Malaysia berkuat kuasa serta merta.

Menurutnya, Lembaga Pelabuhan Klang telah diarahkan untuk membantu syarikat logistik, pengimport, pengekspot dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terjejas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar berkata, Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Jelasnya, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta-merta.

Anwar berkata, sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Kedua-dua sekatan ini berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Anwar, Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia. – MalaysiaGazette

Syarikat kapal Israel disekat berlabuh di Malaysia