Anggota KPDN Pulau Pinang memeriksa produk tiruan chewing tobacco Pan Asal yang dijual di sebuah premis di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Bagi mengaut keuntungan – beberapa premis yang diusahakan warga asing sekitar Bukit Mertajam dan Lunas, Kedah sanggup menjual produk tiruan chewing tobacco Pan Asal milik cap dagang pihak lain.

Kegiatan tersebut terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu premis berkenaan dalam beberapa serbuan berasingan hari ini.

Pemilik cap dagang sah iaitu Malik Streams Corporation.

Menurut sumber tertinggi Malik Streams, pihaknya mengalami kerugian susulan tindakan peniaga mengaut untung dengan menjual produk tiruan berkenaan.

“Penjualan produk tiruan ini bukan sesuatu yang remeh kerana ia bukan sahaja memberi kesan besar buat perniagaan kami malah turut memperdayakan pengguna.

Serbuan turut dilakukan di Lunas, Kedah.

“Meskipun KPDN telah menjalankan operasi banteras kegiatan tersebut kita akan meneruskan tindakan saman kerana mengalami kerugian teruk.

“Pasukan peguam kami sedang menyiapkan dokumen bagi kes ini agar menjadi pengajaran kepada peniaga tersebut sekali gus elak perkara sama berulang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Difahamkan, mereka yang terlibat akan didakwa di mahkamah dan jika sabit bersalah boleh didenda minimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan chewing tobacco Pan Asal mengikut akta KPDN.

Tambah sumber tersebut, pihaknya berharap peniaga lain tidak mengikut jejak sama iaitu menjual produk tiruan kerana ia tidak adil bagi pemilik cap dagang asal.

Terdahulu tinjauan MalaysiaGazette di lokasi serbuan mendapati premis tersebut diusahakan lelaki warga Bangladesh bersama isterinya yang juga warga tempatan. – MalaysiaGazette