KUALA LUMPUR – Syarikat pembiayaan pelaburan, Alphacapital (M) Berhad (Alphacapital) mengumumkan kerjasama dengan syarikat perlombongan dan komoditi, Arifa Dynamic Sdn. Bhd. (Arifa Dynamic) untuk melaksanakan operasi melombong pasir silika di Setiu, Terengganu.
Menerusi kerjasama itu, Alphacapital akan menyediakan pembiayaan untuk membangunkan ekosistem perlombongan dengan sasaran untuk menjual kira-kira 600,000 metrik tan pasir silika setiap tahun melibatkan anggaran nilai lebih RM30 juta.
Ketua Pengarah Eksekutif Alphacapital, Syed Mahadzir Fadaak berkata, kerjasama untuk tempoh 30 tahun itu juga bakal menawarkan pekerjaan baharu sambil memenuhi permintaan kukuh untuk pasir silika peringkat domestik dan juga antarabangsa.
“Pasir silika merupakan bahan mentah utama yang digunakan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan kaca dan logam serta pengeluaran kimia.
“Operasi penuh bakal bermula pada Januari depan dengan aspirasi untuk menempatkan Malaysia sebagai pengeluar pasir silika terkemuka bersama-sama China, Taiwan, Korea Selatan dan Australia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kerjasama itu, Alphacapital kini muncul pemegang saham terbesar dalam projek pasir silika sebanyak 70 peratus dengan pemilikan tanah seluas 540 hektar di Setiu untuk kerja-kerja pemulihan tanah pertanian sepanjang kerjasama ini.
Kawasan itu merupakan tanah pemulihan yang akan diproses untuk menjadikan pasir silika yang bermutu tinggi.
Sementara itu, Pengarah Arifa Dynamic, Wan Aliff Nasrul Hakim berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Alphacapital yang akan membolehkan syarikat meningkatkan operasi dan memenuhi permintaan pasaran secara komprehensif serta skala yang lebih besar.
“Pembiayaan dan sokongan Alphacapital akan membolehkan kami memaksimumkan potensi tapak perlombongan ini dan memperkuat kedudukan di Terengganu sebagai pusat perlombongan dan komoditi utama,” katanya. – MalaysiaGazette