Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat baru-baru ini memperkenalkan perkhidmatan pembayaran zakat simpanan secara automatik menerusi Akaun Simpanan-i dan Akaun Semasa-i.

Perkhidmatan tersebut merupakan satu kemudahan kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan membayar zakat simpanan dengan mudah dan lancar.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut tersedia untuk semua akaun simpanan dan semasa individu seperti Akaun Simpanan-i, Akaun Simpanan-i Ibadah Umrah, Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Akaun Semasa-i Elektronik (eCAi).

“Menerusi kemudahan ini, pihak kami menggunakan konsep Syariah iaitu kontrak Wakalah yang mana pelanggan sebagai ‘muwakkil’ melantik Bank Rakyat sebagai wakil untuk menguruskan pembayaran zakat kepada agensi mengurus zakat (AMZ) seperti Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

“Jumlah zakat simpanan akan dihitung secara automatik dan ditolak melalui sistem Bank Rakyat apabila memenuhi syarat haul dan nisab menerusi akaun pelanggan tanpa sebarang caj tambahan.

Pelanggan juga akan menerima resit operator zakat dan pemberitahuan daripada bank yang mengesahkan pembayaran berjaya dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Inisiatif yang juga bertepatan dengan nilai daya cipta Malaysia Madani itu bukan sahaja dapat menggalakkan pelanggan memenuhi tanggungjawabnya malah memastikan kelancaran pelanggan untuk membayar zakat simpanan tahunan mereka pada waktunya.

Menurut Bank Rakyat, perkhidmatan baharu itu memperlihatkan komitmen berterusan bank berkenaan dalam memanfaatkan rangkaian perkhidmatan dan perbankan digital.

Ia bertujuan untuk menyediakan penyelesaian inovatif kepada pasaran untuk kemudahan dan pengalaman terbaik pelanggan sekali gus membantu meningkatkan kemakmuran ekosistem kewangan sosial dan Islam secara keseluruhannya.

“Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan pembayaran zakat simpanan secara automatik ini boleh membuat permohonan di mana-mana cawangan Bank Rakyat berhampiran di seluruh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette