TANGKAK – Dua lelaki maut sementara tiga lagi terselamat dalam kejadian melibatkan tiga buah lori di Kilometer (KM) 164.8, susur masuk kawasan rehat dan rawat (R&R) Tangkak, Lebuh Raya Plus arah selatan awal pagi tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku pukul 4.26 pagi, kata Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Zamri Ayob.
Katanya kedua-dua mangsa meninggal dunia itu akibat tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan pihaknya.
“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia itu merupakan mereka yang menaiki lori lima tan jenis Isuzu. Mangsa telah dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan, dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta sembilan anggota lapangan (TOA) BBP Tangkak dan sembilan anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Bukit Gambir telah dihantar ke lokasi kejadian.
“Setibanya PKO ke lokasi didapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori lima tan jenis Isuzu, sebuah lori jenis Hino dan juga sebuah lori lima tan jenis Hino.
“Mangsa dalam lori Isuzu didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala tiga lagi mangsa dalam lori jenis Hino dan juga sebuah lori lima tan jenis Hino terselamat.
Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sekitar 6.05 pagi tadi. – MalaysiaGazette