KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita bangunan Menara Ilham di sini pada Isnin lepas dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion membabitkan seorang tokoh korporat dan bekas menteri kanan.
Sumber SPRM ketika menghubungi Bernama berkata bangunan itu, yang turut menempatkan pejabat tokoh korporat berkenaan, disita di bawah Akta SPRM 2009.
Penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Dis 2023 itu disiarkan dalam ruangan notis pemberitahuan sebuah portal berita dalam talian hari ini.
Menurut notis ditandatangani oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita bangunan Menara Ilham yang mempunyai alamat di No. 8, Jalan Binjai di sini.
Arahan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah setelah berpuas hati dengan maklumat yang diberikan oleh pegawai agensi antirasuah berkenaan.
Notis itu turut melarang segala urusan berkaitan bangunan berkenaan dan mencatatkan terma notis pada dokumen hak milik bangunan tersebut di pejabat Pendaftar Hak Milik.
Menurut notis itu, individu yang tidak mematuhi notis tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 38(5) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak melebihi dua kali ganda nilai harta berkenaan atau RM50,000 mengikut mana lebih tinggi dan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Pada Mei lepas, SPRM dilaporkan sedang menyiasat seorang tokoh korporat berhubung kes penyelewengan dana negara bernilai lebih RM 2.3 bilion.
Siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen sulit oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Siasatan itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – BERNAMA