SHAH ALAM – Lelaki berusia 38 tahun berhadapan dengan tuduhan atas dakwaan membunuh isterinya menggunakan dumbel di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak di sini pada Jumaat lalu.
Tertuduh, Izzat Saat, 38, ketika mendengar pertuduhan dibacakannya kepadanya di Mahkamah Majistret hari ini mengangguk tanda faham.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu lebih kurang pukul 10.30 malam hingga 10.30 pagi di Sungai Congkak, Seksyen 32, Shah Alam dengat niat melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian terhadap isterinya, Nurul Qurraisyia Zulkafli, 33.
Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau sekiranya tidak dipenjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun termasuk sebatan sebanyak 12 kali.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan hari ini.
Majistret, Farah Rosnan kemudian menetapkan 19 Febuari 2024 sebagai tarikh sebutan dan lampiran keputusan ujian kimia, forensik dan bedah siasat.
Sebagai rekod, baru-baru ini dilaporkan pensyarah kolej maut dipukul suaminya akibat cemburu.
Pasangan berkenaan baru sahaja mendirikan rumah tangga selama lapan bulan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan kes itu diterima pihaknya pukul 5.33 pagi daripada tertuduh yang mengatakan isterinya mengalami sawan dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital.
Menurutnya, pemeriksaan awal oleh doktor Hospital Shah Alam terhadap mangsa mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuh.
Beliau berkata, semakan ke atas suspek berusia yang bekerja sendiri itu didapati memiliki dua rekod lampau bersabit kes pukul dan dadah.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: