Petugas Klinik Kesihatan Pandamaran membuat persediaan sebelum melakukan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 426 klinik kesihatan seluruh negara menawarkan pemberian vaksin Covid-19.

Oleh itu, orang ramai boleh membuat tempahan slot vaksinasi mengikut panduan dalam aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, senarai Pusat Pemberian Vaksin tersebut boleh disemak dalam aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya slot janji temu di sesebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah penuh, orang ramai dinasihati untuk memilih PPV lain yang masih mempunyai slot tempahan pada minggu ini atau minggu hadapan,” katanya menerusi kenyataan Situasi Semasa Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam masa yang sama Dzulkefly berkata, KKM sedang meneliti trend tempahan slot vaksin Covid-19 di PPV yang mempunyai permintaan yang tinggi.

“Maklumat pertambahan atau perubahan kepada bilangan slot janji temu di sesebuah PPV akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Tambahnya, orang ramai juga boleh hadir ke PPV yang tersenarai secara walk-in bagi mendapatkan vaksinasi.

“Namun, jumlah vaksinasi adalah bergantung kepada first to come basis serta ketersediaan vaksin di PPV pada hari tersebut,” kata Dzulkefly.

Sementara itu, beliau menegaskan, pengambilan vaksin Covid-19 pada masa ini adalah secara sukarela.- MalaysiaGazette