Dua maut dan lima tercedera dalam nahas tiga kenderaan di Klang awalpagi tadi.Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut manakala lima yang lain termasuk seorang bayi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Persiaran Sultan Ibrahim, Bandar Baru Klang, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan mengenai nahas jalanraya itu sekitar jam 6.23 pagi tadi.

“Bertindak atas panggilan itu, sepasukan bomba dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang telah bergegas ke lokasi kejadian itu.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan jenis Perodua Bezza, Honda City dan Toyota Camry dan tujuh mangsa berada di dalam ketiga-tiga kenderaan tersebut.

“Dua lelaki yang maut tercampak ke dalam longkang disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). ” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Seorang bayi dan dua kanak-kanak perempuan antara lima tercedera manakala dua lagi maut selepas tiga kenderaan terlibat dalam nahas jalan raya di Klang awal pagi tadi. Bomba SelangorMayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.

Manakala kesemua mangsa tercedera dalam nahas itu telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette