KUALA LUMPUR – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didakwa didakwa cuai meninggalkan anaknya berusia dua tahun selama lebih tujuh dalam dalam sebuah kereta sebelum kanak-kanak itu ditemui maut.
Tertuduh, Nur Sari Fardiana Mohd Amran, 38, yang juga seorang peniaga kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Shaliza Warnoh.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita berkenaan didakwa melakukan pengabaian terhadap anak perempuannya dengan meninggalkannya dalam kereta di sebuah rumah di Ara Damansara pada 8 November lepas antara jam 8 pagi hingga 3.15 petang.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Sesyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang berdepan dengan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin namun dibantah peguam tertuduh, Datuk Hanif HSaan yang memohon supaya jumlah tersebut dikurangkan.
“Anak guam saya telah memberikan kerjasama, beliau juga trauma sepanjang sebulan ini. Kami mohon mahkamah memberikan jaminan lebih rendah sedikit,” katanya hari ini.
Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 serta syarat lain, termasuklah tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, tingkat tiga mahkamah Sesyen PJ ini agak sesak dengan kehadiran media yang mengikuti kes tertuduh.
Tertuduh ditemani ahli keluarga berpakaian serba hitam dikawal ketat sebelum masuk ke dalam mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas lebih tujuh jam ditinggalkan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire di kawasan perumahan Ara Damansara di sini November lepas.
Polis menerima panggilan daripada ibu mangsa yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri pada pukul 3.49 petang, siasatan mendapati jam tertuduh menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran seterusnya ke tadika untuk menghantar mangsa.
Namun apabila sampai di tadika, wanita itu berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan online sehingga terlupa menurunkan kanak-kanak tersebut di lokasi.
Tertuduh kemudian balik ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada dalam kenderaan pada pukul 3.35 petang dengan anaknya tidak sedarkan diri. – MalaysiaGazette