Badrul Hisyam didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pemandu kereta jenis Proton Wira yang tular melanggar penunggang motosikal hanya kerana menegurnya memotong kenderaan tanpa memberi isyarat dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini

Pekerja bengkel cat kereta, Badrul Hisyam Abdullah, 29, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Tiga pertuduhan itu membabitkan kes khianat, ugutan jenayah serta mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada kereta Wira tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan gear sebuah motosikal yang menyebabkan seorang lelaki berusia 28 tahun mengalami kerugian RM30.

Badrul Hisyam mohon hukuman penjara susulan tidak mampu membayar denda.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang sudah berumahtangga itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak menyebabkan kecederaan terhadap lelaki sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didapati telah mempamerkan plat WMY 304 pada kereta Proton Wira dipandunya yang mana ia bukan kepunyaan kereta tersebut.

Untuk kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Tangkap layar video tular menunjukkan tertuduh menggunakan nombor pendaftaran palsu selain melakukan ugutan jenayah terhadap seorang penunggang motosikal.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu pada jam 10.20 pagi, 8 Disember lalu di persimpangan Jalan Pokok Sena, Tasek Gelugor di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang berjalan serentak bagi ketiga-tiga pertuduhan susulan tidak mampu membayar denda.

Siti Zulaikha kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi kesemua tiga pertuduhan selain mengarahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkapan tertuduh.

Media pada 9 Disember lalu melaporkan seorang pemandu Wira Aeroback yang didakwa melanggar penunggang motosikal di sebuah stesen minyak seperti yang tular di media sosial ditahan polis.

Berdasarkan rakaman video tular berdurasi 27 saat itu memaparkan seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback melanggar penunggang motosikal sebanyak dua kali sebelum beredar.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati disebabkan penunggang motosikal terbabit menegur pemandu berkenaan yang memotong tanpa memberi isyarat. – MalaysiaGazette