Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar, menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara. Foto NUR SYADILA AMARI, 22 DISEMBER 2023.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir pendakwah yang “terburu-buru” mengupas sesuatu isu yang disifatkannya lebih menjurus kepada sentimen politik.

Menurut beliau, golongan terbabit sepatutnya menyemak terlebih dahulu fakta sebelum mereka membuat sebarang penjelasan kepada umum.

“Bila ditanya salah seorang ustaz di Terengganu, dia kupas (soalan ditanya itu) tanpa mendengar (konteks sebenar)… terus dia kata pemimpin besar ini jahil dan keliru dan menyesatkan dan mengatakan orang ini orang Kristian.

“Baca, dengar konteksnya. Kita seorang pendakwah jangan terburu-buru ikut sentimen politik. Ini masalahnya, kalau ikut sentimen betul (tidak mengapa) dari segi semangat agama.

“Pertama semak dulu kenyataan itu benar atau tidak, keduanya fakta itu benar atau tidak. Kalau tidak (benar)… boleh tegur saya, saya boleh betulkan,” katanya.

Beliau berjata demikian ketika ditemui media selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara, di sini hari ini.

Beliau dipercayai merujuk ulasan seorang penceramah terkenal yang tular di laman sosial apabila mengulas kenyataannya berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi, yang disentuh ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), minggu lepas.

Tanpa menyebut nama pendakwah terbabit, Anwar mengakui kenyataan yang disentuh pendakwa h itu berkait ucapannya pada majlis bersama penjawat awam yang dihadiri.

“Minggu lalu saya beri ucapan kepada penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri dan mengupas ayat al-Quran surah A-Kahfi.

“Saya sampaikan pada masa itu sistem dan kerajaan serta raja yang zalim itu penyembah berhala, ditolak orang beriman termasuk tujuh pemuda ini yang kemudian berlindung di gua.

“Saya kata ada juga cerita yang disampaikan oleh golongan Nasrani dalam bidang itu. Pada masa itu tentunya mereka ini mengikut kalau beberapa kitab tafsir penganut agama Nasrani, iaitu sekarang kita sebut Kristian,” ujarnya.

Perdana menteri berkata, kisah dalam Al-Kahfi itu antara lain diceritakan mengenai kisah anak muda yang kuat imannya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast