Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai untuk menghidupkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur dilihat untuk menjaga kepentingan DAP yang melangkaui kepentingan rakyat.

Aktivis politik, Shahir Adnan berkata, desakan DAP untuk pilihan raya PBT akan menyebabkan ketidakstabilan masyarakat majmuk di Malaysia dan hanya menguntungkan sesuatu kaum saja, terutama di kawasan bandar.

“Kita mempunyai 155 kerajaan tempatan termasuk empat agensi yang diberi kuasa PBT. Daripada jumlah ini, 132 PBT masih bertaraf majlis perbandaran dan majlis daerah.

“Di peringkat kerajaan Persekutuan, kementerian bertanggungjawab diketuai oleh menteri dari parti DAP, Nga Kor Ming. Semua Kerajaan Negeri PH-BN pula diketuai oleh Exco bertanggungjawab daripada Parti DAP.

“Pimpinan Jawatankuasa Pusat DAP pula didominasi oleh satu kaum sahaja dengan perwakilan dari kaum Melayu hanya beberapa orang.

“Dari sudut perkauman, ianya boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar majoriti kaum Cina yang sangat besar,” katanya menerusi kenyataan.

Shahir berkata, berdasarkan statistik terbaru PRU-15 sebagai contoh, Parlimen Kepong dipegang oleh DAP sejak 1982 dengan komposisi kaum Cina sebanyak 73 peratus.

Parlimen Segambut, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras pula katanya, mempunyai komposisi kaum Cina antara 55 peratus hingga 70 peratus dan didominasi oleh wakil rakyat DAP sejak puluhan tahun.

Oleh yang demikian kata beliau, lantikan berdasarkan kuota di PBT dapat memastikan pihak-pihak yang berbeza termasuk profesional dan NGO untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan tempatan sebagai semak dan imbang.

“Kedua, dari sudut penggunaan wang awam, pilihanraya PBT akan menelan belanja yang besar. Secara purata, setiap pilihanraya ini ini akan memberi implikasi kewangan sebanyak RM3 juta untuk dilaksanakan.

“Ini bermakna, sekiranya DAP mahu melaksanakan pilihanraya PBT, jumlah belanja yang dianggarkan adalah hampir setengah bilion ringgit dan ia memberi kesan kewangan yang cukup besar kepada kerajaan tempatan dalam kategori majlis perbandaran dan majlis daerah,” ujarnya.

Ketiga Shahir menambah, dari sudut demokrasi, rakyat sudah mempunyai dua jenis peringkat Kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi pilihanraya iaitu Pilihanraya Persekutuan untuk memilih ahli Dewan Rakyat dan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk memilih ahli Dewan Undangan Negeri.

Rakyat pula katanya, sudah lesu dengan mainan politik berpanjangan.

“Oleh itu, PBT dan Ahli Dewan Negara perlu diberikan status quo lantikan bagi memberi ruang kepada rakyat golongan profesional yang tidak minat berpolitik tetapi mahu membantu memajukan negara untuk diberi tempat, katanya.

Tambah beliau lagi, kelestarian seperti itu wajar dipertahan dan dapat dibayangkan jika pilihanraya PBT dilaksanakan di Kepong, maka ahli majlis hingga ke ahli dewan rakyat hanya didominasi oleh wakil DAP yang secara faktanya mendominasi pilihan 73 peratus kaum Cina.

“Bagaimana untuk kita meletakkan wakil kaum lain untuk mewakili 20 peratus kaum Melayu dan 6 peratus kaum India di Kepong?

“Oleh itu, DAP dinasihatkan untuk fokus bekerja dalam Kerajaan Madani dan tidak memporak-perandakan sistem sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Kok Wai dipetik menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan. – MalaysiaGazette