Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri (KLN) akan menekankan diplomasi ekonomi dalam usaha untuk memudahcarakan aktiviti perdagangan dan menarik pelaburan asing ke Malaysia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang baharu dilantik pada 12 Disember lalu berkata, ia adalah sejajar dengan dengan objektif kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, KLN juga akan memberikan penekanan terhadap diplomasi halal dalam mempromosikan industri halal Malaysia di persada antarabangsa.

Mohamad menegaskan, sebagai Menteri Luar beliau akan meneruskan gagasan KLN dalam usaha untuk melonjakkan martabat dan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa

“Berdasarkan kepada pengalaman saya di Kementerian Pertahanan, saya akan terus berusaha untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala dengan negara-negara luar dan rakan-rakan strategik sedia ada, demi kepentingan negara.

“Dalam hal ini, antara fokus utama kita adalah untuk meneruskan usaha bagi meningkatkan status hubungan dua hala kepada tahap perkongsian strategik atau perkongsian strategik komprehensif. seperti mana yang dimeterai dengan negara Jepun baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Putra hari ini selepas menghadiri sesi taklimat bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Luar.

Mohamad tiba di Wisma Putra kira-kira pukul 9.40 pagi dan kali pertama menjejakkan kaki ke pejabat beliau selepas dilantik dalam rombakan Kabinet yang berlangsung pada 12 Disember lalu.

Sebaik dilantik beliau mengiringi Perdana Menteri ke Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEA-Jepun.

Beliau berkata, KLN juga akan terus membuat perancangan dan persiapan rapi, terutamanya dalam menentukan bidang keutamaan dan keberhasilan kepengerusian ASEAN.

Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia merupakan salah satu agenda penting dalam mempromosikan dasar luar Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa

Wisma Putra juga telah menyusun beberapa siri lawatan negara penting yang akan dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Lawatan-lawatan negara ini akan melambangkan hubungan dua hala yang mesra dan erat antara Malaysia dengan negara-negara luar yang pastinya akan memperkukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama dalam pelbagai bidang,” kata beliau.

Tambahnya, Perdana Menteri akan meneruskan interaksi aktif dengan pemimpin-pemimpin negara asing menerusi siri lawatan ke beberapa negara yang bertujuan untuk memajukan kepentingan negara.

Selain itu, terdapat perancangan untuk Malaysia menerima lebih banyak lawatan oleh pemimpin-pemimpin negara luar yang mencerminkan reputasi dan prestasi Malaysia yang kian meningkat di persada antarabangsa di bawah kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.- MalaysiaGazette