KUALA LUMPUR – Seramai 2,200 anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ditugaskan di premis menjual barang keperluan seluruh negara  sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023.

Timbalan menterinya Fuziah Salleh, berkata penugasan itu bagi membolehkan penguatkuasaan dan tindakan tegas dilakukan segera sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap skim berkenaan.

“Turut ditugaskan seramai 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN di lokasi-lokasi strategik,” katanya.

SHMMP Krismas 2023 bermula hari ini sehingga 27 Disember ini.

Sebanyak 14 jenis barangan yang telah diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut termasuklah daging kambing, tomato, lada benggala, lobak merak, kubis bulat import, cili merah, ubi kentang import dan banyak lagi.

Menurut Fuziah, penentuan harga skim itu dibuat dengan mengambil kira pandangan dari industri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi di bawahnya dan input data yang dikutip oleh Bahagian Harga Barangan Negara (BHBN).

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan- peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast