Seorang pegawai dari Unit Kawalan Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memasukan sample air yang mengandungi jentik-jentik ketika Ops Gempur Aedes. foto MalaysiaGazette

GENEVA – Kira-kira 4 bilion orang berisiko dijangkiti virus denggi, menurut amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pasukan Arbovirus, Jabatan Kesiapsiagaan dan Pencegahan Wabak dan Pandemik WHO, Rojas Alvarez berkata, lebih 5 juta kes dan 5,000 kematian denggi telah dilaporkan di seluruh dunia sejak awal 2023.

Hampir 80% daripada kes denggi – 4.1 juta telah dilaporkan di Amerika, diikuti oleh Asia Tenggara dan Pasifik Barat.

Beliau menekankan, taburan nyamuk telah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan beberapa faktor, dan pada tahun 2023, fenomena El Nino serta perubahan iklim telah menyebabkan peningkatan pengesanan denggi di negara yang sebelum ini bebas denggi seperti Perancis, Itali dan Sepanyol.

“Ia juga membimbangkan wabak denggi berlaku di negara-negara yang terjejas akibat konflik di rantau Mediterranean Timur WHO seperti Afghanistan, Pakistan, Sudan, Somalia dan Yaman,” katanya, sambil menambah negara-negara ini sedang menghadapi wabak berjangkit secara serentak.

Situasi ini berpunca daripada pergerakan penduduk beramai-ramai, infrastruktur air dan sanitasi yang lemah, dan bencana alam yang berulang.

Perkara yang sama  turut dikatakan berlaku di Afrika, yang mana demam denggi ditemui dalam kalangan orang tempatan dan individu yang pulang dari lebih 30 negara Afrika, tambahnya.

Denggi “tidak endemik di Eropah dan kebanyakan kes ini biasanya berkaitan dengan perjalanan,” menurut agensi kesihatan PBB.

Bagaimanapun, WHO di rantau Eropah melaporkan kluster kecil dan terhad denggi autochthonous tahun ini, kata Rojas. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast