KUALA LUMPUR – Desas desus semakin kencang menyatakan Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) akan ‘bertukar tangan’, dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Perpaduan dalam masa terdekat ini.
Biarpun pada masa ini ia masih spekulasi namun jika ia berlaku bukan sesuatu yang baharu kerana unit yang diwujudkan untuk memperkasa kaum India sejak lebih 10 tahun lalu telah banyak melalui ‘cabaran dan skandal’.
Sekejap unit itu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kemudian diletakkan pula di bawah Kementerian Perpaduan, selepas itu dikembalikan kepada JPM.
Seandainya khabar angin ini benar, maka unit ini sudah ‘berpindah-randah’ sebanyak empat kali.
Mitra dibentuk hasil buah fikiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013. Fungsinya untuk membantu golongan B40 dengan nama Seed kemudian SEDIC (Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India) sebelum dijenamakan semula sebagai Mitra ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018.
Ketika Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pada 2022 memohon unit ini kembali diletakkan di bawah JPM supaya pelbagai kekangan dalam membelanjakan RM100 juta yang diperuntukkan setiap tahun dalam masa yang ditetapkan dapat diatasi.
Menurut seorang pemimpin tertinggi yang enggan namanya disiarkan, bukan sahaja beliau kecewa tetapi rata-rata masyarakat India sendiri seperti tidak faham dengan apa yang menimpa unit itu yang sepatutnya berfungsi selaras dengan objektif penubuhannya.
“Saya tidak faham apakah agenda sebenar untuk letakkan Mitra di kerajaan Perpaduan? Apakah keperluan untuk bertukar-tukar macam ini? Mengapa unit yang sebenarnya berperanan untuk jaga kebajikan dan perjuangkan kepentingan masyarakat India terus diperkotak-katikkan?
“Kira-kira lapan bulan lepas Datuk R Ramanan dipertanggungjawabkan untuk memikul tugasan bersama pasukan jawatankuasa bagi meneraju Mitra, selain mengembalikan objektif utama unit itu bagi memperkasa komuniti India oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada bulan September, Ramanan juga mengumumkan kejayaan dalam mengagihkan kesemua dana RM100 juta kepada golongan sasaran, selain berharap akan adanya dana tambahan pada masa akan datang. Tidak sampai setahun, sudah ada keperluan untuk tukar MITRA daripada JPM ke Kementerian Perpaduan, apa motif?
“Adakah dengan tindakan seperti ini mampu memperkasakan kehidupan masyarakat India di negara ini?,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kata sumber itu lagi, masyarakat India di negara ini yang mengundi Kerajaan PH khasnya PKR dan DAP kerana berharap tidak ada polemik lagi apabila membabitkan kebajikan kaum itu lagi.
“Sejak minggu lepas beberapa media melaporkan tentang ‘tangan-tangan ghaib’ sedang cuba sehabis baik untuk mengeluarkan unit itu daripada JPM kepada Kementerian Perpaduan, ini juga secara kebetulan berlaku selepas adanya rombakan Kabinet.
“Sudah berada di bawah JPM, tiba-tiba hendak letak bawah Kementerian Perpaduan kerana timbul isu tak puas hari.
“MIC yang usahakan supaya unit ini diletakkan di bawah JPM, tapi hendak tukar lagi, mengapa?
“Saya harap azam perdana menteri untuk membasmi kemiskinan dan perkasa kaum India akan jadi kenyataan tanpa wujudnya isu-isu sebegini. Berkali-kali menukar unit ini hanya merugikan kaum India, tidak membantu pun kaum ini untuk bangkit,” tegasnya. -MalaysiaGazette