KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi perhatian dan menangani isu berkaitan agama, ekonomi, tanah dan keselamatan Melayu dalam negara ini.
Ia merupakan antara keutamaan yang dibangkitkan pada Himpunan Kebangkitan NGO-NGO Islam yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman hari ini.
Wakil gabungan NGO-NGO Islam, Aminuddin Yahaya berkata, deklarasi tuntutan itu akan dihantar kepada kerajaan dan Istana Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.
“Isu-isu ekonomi, tanah, kepentingan yang Melayu dipertahankan telah dikemukakan melalui himpunan hari ini.
“Himpunan ini memberi ruang kepada rakyat Melayu meluahkan rintihan mereka yang selama ini kerajaan tidak ambil perhatian secara khusus untuk ambil tindakan,” katanya ketika sidang media.
Sebanyak 12 NGO-NGO Islam hadir pada himpunan pada hari ini, antaranya Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) dan lain-lain lagi.
Aminuddin berkata. himpunan seperti yang diadakan pada hari ini tidak bermaksud NGO-NGO Islam menolak perpaduan dalam negara.
Sebaliknya katanya, ia salah satu strategi untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu Islam di Malaysia.
“Ini bukan pasal kita bersifat perkauman. Kaum lain pun ada himpunan sendiri, bukan kita menentang perpaduan.
“Kami adalah pihak yang menyeru pepaduan bukan memecah-belahkan. Paling menderita, susah adalah orang Islam, yang lain selesa,” ujarnya.
Dalam masa yang sama beliau berkata, Himpunan Kebangkitan NGO-NGO Islam akan diadakan di seluruh negara pada tahun depan untuk menyedarkan tentang isu-isu yang dikemukakan. – MalaysiaGazette