Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Tindakan maklumbalas pantas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang meminta 47 mangsa penipuan pakej umrah mengemukakan aduan rasmi untuk diperincikan secara teliti mendapat pujian.

Kes penipuan itu didedahkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) yang kemudian membawa kumpulan 47 mangsa penipuan pakej umrah untuk menyerahkan surat aduan kepada KPDN petang semalam.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya gembira dan berlapang dada dengan maklum balas Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali pagi ini berhubung tiadanya tindakan terhadap sebuah syarikat pelancongan yang gagal ganti rugi seperti diperintahkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Isu ini sangat serius, walaupun dapat perintah TTPM namun syarikat pelancongan ‘terkenal’ itu masih kebal undang-undang. Kecewa dengan keadaan itu, kita bawa pula isu ini kepada KPDN petang semalam.

“Sehingga hari ini, pihak syarikat masih gagal membayar ganti rugi seperti diminta TTPM dan mereka seolah-olah ingkar dengan award yang diberikan tribunal.

“Alhamdulilah, Menteri sangat efisyen dan segera memberikan maklumbalasnya. Terima sangat, MHO dan semua mangsa sangat hargai komitmen ini. Pada kita, biarlah isu ini dengan segera diselesaikan apatah lagi apabila kita berdepan dengan mangsa khasnya golongan b40 yang hendak tunaikan umrah, bukannya pergi melancong,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hishamuddin mengulas kenyataan Armizan di Papar, Sabah hari ini yang memohon semua mangsa untuk membuat aduan rasmi kepada pihaknya sebelum tindakan tegas diambil. 

MalaysiaGazette sejak beberapa minggu lalu memohon supaya adanya campur tangan pihak berwajib terhadap syarikat pelancongan tersebut.

Kata beliau, MHO dimaklumkan ada mangsa yang membuat aduan mengenai syarikat terbabit diberikan ‘refund, menggunakan cek, namun apabila mangsa hendak tunaikan cek itu, rupa-rupanya ia adalah cek tendang.

“Jadi mangsa merasakan mereka telah diperdaya dan diperbodohkan oleh pihak syarikat, kita mohon KPDN menguatkuasakan Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 ke atas syarikat terbabit dan melaksanakan award seperti diminta TTPM kepada mangsa dengan segera,” tegasnya.

Syarikat tipu pakej umrah, 123 aduan libat kerugian lebih RM1.3 juta – MHO

Syarikat pelancongan tersebut bertindak mengiklankan tawaran pakej umrah di pelbagai platform media sosial sebelum urus niaga jual beli pakej yang ditawarkan.

Apabila hampir waktu untuk menunaikan umrah, perancangan umrah mereka telah dibatalkan dengan pelbagai alasan malah menabur pelbagai janji untuk memulangkan semula pembayaran dan mengatur semula pakej yang ditempah mangsa. -MalaysiaGazette

MGNews: Ingatkan Selama Ini Umrah Sahaja Tetapi Haji Pun Syarikat Ini Ada Masalah – MHO

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast