KUALA LUMPUR – Biarpun sudah berada di alam persaraan setelah berkhidmat lebih 40 tahun dalam bidang penyiaran dan akademik, semangat Dr. Haji Saat Haji Awang Damit, seorang veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan bekas pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) belum jemu untuk menuntut ilmu.
Atas usaha gigihnya, beliau berjaya menamatkan pengajian dan menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dalam Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25 baru-baru ini.
Penganugerahan ijazah pada usia 64 tahun menjadikan Dr. Saat sebagai graduan PhD tertua dalam sidang konvokesyen UMS pada tahun ini.
Dr. Saat, yang pernah memegang pelbagai jawatan sejak menyertai RTM pada tahun 1979, termasuk Timbalan Pengarah Penyiaran di Negeri Sembilan, beralih ke bidang akademik dengan menyertai UMS sebagai pensyarah pada tahun 2000.
Beliau kemudian bersara sebagai pensyarah kanan pada tahun 2018, sebelum dilantik semula sebagai Felo sehingga bulan Oktober 2020.
Dr. Saat berkata usahanya untuk mencapai kejayaan tersebut tidak mudah dan banyak menempuhi cabaran serta laluan berliku.
“Dalam tempoh pengajian ini saya telah mempunyai seramai tujuh orang penyelia dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang datang ke UMS, dan setiap kali pertukaran penyelia, tajuk tesis saya akan bertukar.
“Sejujurnya, saya hampir berputus asa kerana terpaksa bermula dari awal dengan tajuk yang baru sebanyak 6 kali. Mujur, penyelia terakhir saya, iaitu Prof, Dr. Fong Soon Fook terus memberi semangat untuk saya meneruskan pengajian.
“Di bawah bimbingan beliau, saya berjaya mereka bentuk satu penerbitan program TV dan mencipta reka bentuk yang baru untuk penulisan tesis PhD saya,” katanya ketika berkongsi perasaannya selepas memperoleh ijazah PhD.
Tambah Dr Saat, sewaktu tempoh pengajian juga beliau pernah menjalani proses pembedahan apendisitis yang memberi kesan terhadap pengajian kerana telah memperlahankan penulisan tesisnya selama tiga bulan pada waktu itu.
“Selain itu, saya turut kehilangan isteri tercinta pada ketika telah pun melengkapkan tesis dan dalam proses untuk menghantar penulisan.
“Saya tidak dapat fokus untuk sesi ‘Viva’ saya walaupun tesis PhD saya telah siap selepas pemergian isteri saya selama 8 bulan,” ujarnya.
Kelewatan Dr Saat menghantar buku tesis pada tahun lalu yang menyebabkan beliau tidak sempat tersenarai bagi majlis konvokesyen pada tahun tersebut.
Namun, kepercayaan beliau terhadap pencarian ilmu yang berterusan dan kedinamikan pendidikan menyemarakkan keazamannya untuk mencapai pencapaian akademik yang penting itu.
Dr. Saat masih menanamkan azam untuk terus menulis buku akademik yang memfokuskan kepada kaedah penerbitan video.
Beliau juga berhasrat mencari peluang untuk terus menyumbang sebagai tenaga pengajar, khususnya dalam bidang komunikasi, agar dapat terus berkongsi ilmu pengetahuan kepada pelajar, walaupun tanpa sebarang bayaran. – MalaysiaGazette.