LONDON – Manchester United dilaporkan telah berjaya mencatat satu rekod baharu di mana menurut catatan tersebut pasukan itu gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut selepas tewas 0-2 kepada West Ham malam tadi.
Menurut laporan daripada Opta, ia adalah kali pertama Manchester United gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut sejak kali terakhir pada November 1992 di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.
Ketumpulan jentera serangan Manchester United tidak dapat dipisahkan dengan prestasi penyerang United yang jauh dari jangkaan.
Malang penyerang muda, Rasmus Hojlund yang dijangka menjadi pengempur utama baharu United masih belum menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris.
Penjaring gol terbanyak United musim lalu, Marcus Rashford turut menyaksikan prestasinya merosot secara drastik di mana dia hanya berjaya menjaringkan dua gol dalam liga musim ini.
Bercakap kepada BBC selepas perlawanan berakhir, pengurus United Erik ten Hag berkata, anak buahnya telah beraksi dengan baik sebelum gol pertama lawan yang boleh dikatakan telah mengubah hala tuju perlawanan.
“Saya rasa kami beraksi dengan baik selama 72 minit tetapi kami tidak memanfaatkan peluang yang kami ada. Kami sepatutnya mendahului tetapi gagal melakukannya dan kemudian ada detik yang menjadi permulaan perubahan perlawanan.
“West Ham tidak banyak melepasi kami semasa perlawanan kemudian mereka mendapat gol dan sudah tentu anda akan memotivasikan pasukan. Dari situ mereka tampil agresif dalam melindungi kotak penalti dan sejak itu ia menjadi sukar untuk mencipta peluang.
“Pada masa ini kami tidak berada dalam senarai pasukan teratas, tetapi minggu lalu kami berjaya menyaingi pasukan teratas (Liverpool). Kami (ketika itu) tidak menjaringkan gol tetapi kami mempunyai peluang terbaik dalam perlawanan itu.
“Kami bertahan dengan baik untuk 90 minit ketika itu jadi Ini sentiasa menjadi standard kami dan Kami juga perlu bermain seperti itu dalam setiap perlawanan,” kata laporan di Facebook Buletin Manchester United. – Agensi