logo banjir
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng di Negeri Sembilan selepas kediaman penduduk di tiga kampung dilanda banjir kilat malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban dalam kenyataan memaklumkan, PPS yang dibuka pukul 1.30 pagi tadi itu menempatkan seramai 68 mangsa daripada 16 keluarga.

Kenyataan itu memaklumkan, ia menempatkan mangsa dari Kampung Chelogeh, Batu 18 dan Sungai Jai.

Katanya, mangsa yang dipindahkan termasuk empat warga emas, 18 kanak-kanak dan seorang bayi lelaki.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seremban menerima panggilan orang awam kira-kira 8.20 malam tadi mengenai kejadian banjir kilat di Kampung Chelogeh.

“Anggota APM digerakkan ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan. Trend air sungai menunjukkan penurunan namun keadaan masih deras,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian malam tadi yang turut dibantu beberapa agensi lain. – MalaysiaGazette