Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kehilangan wang tunai berjumlah RM85,000 di sebuah premis di Lebuh Pudu ketika operasi khas dilakukan pihak berkuasa itu pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ketiga-tiga anggota itu berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan di mana kesemua individu yang ditahan direman selama empat hari mulai 23 hingga 26 Disember 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Allaudeen,  kes masih lagi dalam siasatan dan orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan ataupun boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Terdahulu pada Jumaat lalu lebih kurang pukul 12.36 malam, pihaknya ada menerima satu laporan berkenaan kehilangan wang tunai tersebut.

Sebelum itu, media melaporkan hampir satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerah bagi menggempur dan membersih penempatan warga asing di Jalan Silang di ibu negara.

Operasi yang bermula pukul 11 pagi itu melibatkan 1,000 pegawai dan anggota pasukan lengkap bersenjata menyerbu sarang penempatan warga asing yang menjadikan kawasan tersebut tidak ubah seperti perkampungan mereka sendiri.

Lebih 1,100 warga asing ditahan dalam operasi di kawasan yang mendapat jolokan ‘mini Dhaka’ itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast