Azizi Ishak

KLANG – Seorang perwakilan Amanah mahu fahaman takfiri atau tindakan mengkafirkan sesama umat islam dihapuskan di negara ini.

Wakil Amanah Kuala Pilah, Azizi Ishak berkata, fahaman takfiri merupakan satu wabak yang bermula dari sebuah kawasan di Pantai Timur 50 tahun lalu.

“Kerajaan pada masa itu tidak bertegas penularan wabak takfiri ini menyebabkan satu pemberontakan di satu kampung di utara.

“Wabak takfiri lebih bahaya daripada Covid-19. Wabak Covid-19 tidak mencerai-beraikan suami isteri. Wabak takfiri meruntuhkan baitul muslim.

“Wabak takfiri menyebabkan Islam terancam. Rukun syariat ditokok tambah. Jangan kita lupa anak sudah besar diijabkabul semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyokong usul ‘Budaya Takfiri dan Fitnah’ yang dibawakan oleh Perwakilan Kubang Pasu Asri Bahrom dalam Konvensyen Nasional Amanah.

Sementara itu, Asri mendesak kerajaan supaya menggubal undang-undang yang boleh menghukum kesalahan penyebaran fahaman takfiri dan pemikiran malampau di Malaysia.

Menurutnya, fahaman takfiri berleluasa ketika kempen pilihan raya umum atau negeri yang berlangsung beberapa bulan lalu.

“Gejala takfir iaitu mengkafirkan sesama umat islam, merupakan penyakit dalam masyarakat, bahkan ancaman bagi umat islam.

“Pemahaman ataupun pemikiran mahu pun gejala ini dapat menyebabkan sifat ekstrem dan radikal serta mudah menimbulkan fitnah kepada sesiapa sahaja yang berbeza dengannya.” katanya.

Asri mendesak Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa agama untuk mengambil tindakan tegas dan keras ke atas mana-mana individu, pertubuhan atau parti politik yang secara terang-terangan menyebarkan, mendoktrinisasi dan membawa fahaman takfiri.

“Mendesak kementerian pelajaran dan kementerian pendidikan tinggi merangka kurikulum pendidikan di peringkat persekolahan rendah dan menengah serta pendidikan tinggi.

“Yang mendidik, memberi kefahaman dan pengetahuan yang betul tentang bahaya fahaman, pemikiran serta takfiri kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kebencian dalam masyarakat, sekaligus merossakkan akidah islamiyyah umat Islam,” katanya. – MalaysiaGazette